Jangan Merayau Waktu Senja
Jangan Merayau Waktu Senja.
Waktunya lepas maghrib, kata orang tua, jangan merayau waktu maghrib. Tak pernah pula arwah ayah dan ibuku memberi sebab kenapa tak boleh merayau waktu maghrib. Tapi bila aku sudah remaja, tahulah aku bahawa waktu maghriblah syaitan dan jin mula keluar.
Petang tadi Kak Ta, isteri abang Kamisan jemput aku datang rumah untuk makan malam.
“Bawalah sekali pam basikal tu, boleh cuba pam basikal abang kau tu” pesannya dalam sms.
Lepas mandi, makan dan sembahyang maghrib, aku pun masukkan pam basikal dalam but kereta, aku masukkan sekali dua tayar basikal, mana tahu lebih senang lagi tukar tayar basikal itu lkalau tiubnya sudah bocor.
Sesampai rumah abang Kamisan, aku letakkan kereta depan rumah, lalu mengangkat sepasu Italian basil ke pintu belakang rumah. Kemudian aku pun mengetuk pintu dan memberi salam.
“Tak ada orang pulak, tengah sembahyang agaknya”
Lalu aku balik ke kereta untuk mengambil pam basikal dan mengunci kereta. Lepas itu aku pun balik ke pintu belakang membawa pam basikal. Aku memberi salam sekali lagi sambil mengetuk pintu.
Abang Kamisan keluar dari dapur dan membuka pintu.
“Kau tadi dah ketuk pintu ye Ya? Tadi aku dengar kau bagi salam, tapi bila aku buka pintu tak ada orang”
“Haah, tapi saya kedepan balik ambil pam basikal ni” kata ku.
Lalu aku pun berseloroh tentang jin dan waktu maghrib.
“Jin agaknya yang bagi salam waktu begini”
Dia ketawa.
Aku pun dijemput masuk, dan kami duduk diruang tamu. Di kaca TV ada satu cerita dongeng tentang hantu.
Abang Kamisan pun berceritalah tentang hantu.
“Kampung aku tu angker kata orang, banyak hantu” dia memulakan cerita.
“aku dulu masa kecik nakal. Kalau bulan puasa tu, lepas saja sembahyang terawih, aku pinjam telekung mak aku, cepat-cepat jalan dan panjat pokok besar tepi jalan, takutkan budak budak perempuan, pakai telekung putih macam pocong atas pokok”
“Bulan puasa kan tak ada hantu” kata ku.
“Itu kata orang, Betul ke?” sanggahnya. “Ada budak muda kampong aku dulu kena tampar”
“ Teruk ke kena tampar?” tanyaku.
“Pekak jadinya, mukanya jadi herot. Bomoh kampong aku ubatkan dia, sebulan dua kendian baik balik” sambung abang Kamisan.
“Kakak aku pernah kena sorok, dua kali” cerita abang Kamisan lagi.
“Hantu tu suka kat dia kot” kata ku.
“Yang pertama kali tu, waktu maghrib, kami budak budak main kat pokok getah tumbang, kami panjat pokok tumbang itu dan main henjut henjut. Bapak aku ni garang, bila waktu maghrib, budak budak tak naik rumah lagi dia pun tengkinglah. Kami pun budak budak larilah bertempiaran. Bila waktu makan, baru kami sedar kakak aku tak ada. Malam itu orang kampong semuacari kakak aku, dah jadi macam pesta, ramai orang cari merata tempat seluruh kampong dengan lampu dan andang.
Masa orang sibuk cari tu, ayah aku kat atas rumah sembahyang saja, tak berhenti henti.
Lepas tengah malam orang kampong jumpa kakak aku tidur dalam parit dekat pokok getah tumbang tempat kami bermain tadi. Dia tidur bertutupkan daun daun kering dan ranting yang dipatah patahkan. Badannya pun dah kecil.
Dia tak bercakap, badannya lemah. Bomoh kampong pulihkan dia, seperti sediakala.
Bila ditanya apa yang terjadi malam itu, dia kata, dia bertemu satu keluarga, lalu diajak naik kerumah mereka, lalu diberi makan dan ditidurkan.
Kali kedua pun waktu maghrib juga. Waktu itu adik aku ni nak pergi buang air besar. Dia ditemankan kakak aku, entah kenapa adik aku ni bising dan menangis. Bapak aku pun marahlah, dan kakak aku pulak lari, takut agaknya dengan bapak aku.
Kemudian kami pun sedar kakak aku hilang. Malam itu semua orang kampong cari kakak aku. Bapak aku sembahyang saja tak henti henti sepanjang malam itu. Dah dekat subuh baru dia orang dapat jumpa kakak aku.
Pakcik aku Nampak kakak aku melintas jalan melompat lompat lalu ditangkapnya dan dibawa balik. Memang betullah macam cerita opera Cina yang menggambarkan hantu itu jalannya melompat lompat. Badannya pun dah jadi kecil. Bomoh pulihkan dia balik”
Kak Ta panggil makan, kami pun berhenti bercerita tentang hantu.
No comments:
Post a Comment