Kita Bertemu Di Fesbuk
Kita Bertemu Di Fesbuk
EMPAT
Seribu Kepahitan dan Seribu Dinar
Petang Ahad. Warga bandar Bando berpusu pusu di pasar, membeli keperluan seharian seperti ikan, ayam dan sayuran. Buah oren dan laici masih segar lagi, baru sampai dari Siam. Kobis bulat baru di buka dari bungkusan kertas suratkhabar lama, kotaknya masih sejuk, baru siang tadi peniaga Cina membawa turun dari Cameron. Peniaga ayam goreng dan ayam percik begitu sibuk berjualan. Nyata ramai warga Bando lebih senang membeli lauk siap untuk juadah malam itu. Ros yang berniaga sate ayam dan daging sibuk membungkus sate yang dibeli pelanggan sambil fikirannya mengira berapakah keuntungannya hari itu.
“Sudah dapat lima puluh ringgit, maknanya sudah untung lebihkurang tiga puluh, dapatlah sekampit beras untuk minggu ini” Ros mengelamun sambil melayan pelanggan.
Ros membeli ayam dari Sofian, di potong kecil kecil, kemudian di cucuk dengan buluh sate. Sofian, kawan sekolahnya sejak belasan tahun dulu kini menjadi towkay ayam di bandar itu. Sofian seorang peniaga yang baik, sanggup membantu peniaga peniaga kecil lain di Bando, walaupun kerana murah hatinya kekadang dia kekurangan modal dan terpaksa meminjam dari bank.
Sudah lumrah orang kampung, keperluan wang melebihi pendapatan, dan begitu juga pada peniaga peniaga di Bando, keuntungan hasil perniagaan petang Ahad itu akan lebur di belanjakan untuk keperluan dapur dan anak anak sekolah mereka.
Sofian faham akan masalah itu, jadi dia mengupah Syidah, salah seorang pekerjanya untuk mengutip hutang ayam yang didahulukannya malam itu juga, sesudah pasar malam bersurai. Malam itu Syidah mengutip hutang bosnya seperti biasa, dari peniaga ayam percik dihujung pasar, kemudian peniaga ayam goreng dan seterusnya.
Sebenarnya Syidah sudah terlalu penat malam itu, dia telah keluar bekerja sejak pukul 6 pagi itu. Pasar basah tempat dia bekerja sudah mula dikunjungi warga Bando seawal 7 pagi. Dia perlu membantu Omar rakan sekerjanya menyediakan ayam untuk jualan. Ayam perlu disembelih dan dibersihkan, sebelum di potong mengikut kehendak pelanggan. Hampir tengahari barulah Syidah dapat berehat sekejap, bila pengunjung pasar basah itu sudah kurang. Kemudian dia akan mengemaskan dan membasuh tempat kerjanya sambil melayan pelanggan.
Ayam yang tidak habis dijual hari itu akan dihantar ke rumah Ros untuk dipotong kecil kecil dan dicucuk sate.
Syidah pulang kerumah pukul 3 petang. Selepas solat zohor dan berehat sekejap dia akan kesekolah agama untuk mengambil anak anaknya pulang. Seronok dia melayan kerenah anak anaknya. Najwa yang baru 7 tahun itu amat petah bercakap dan selalu bercerita apa apa sahaja yang berlaku di sekolah. Hilang penatnya bekerja seharian bila dapat berbual dan melayan anak anak.
Malam itu Syidah masak nasi, lauk ayam masak masam manis. Mereka makan bersimpuh diatas lantai simen, beralaskan tikar getah. Anaknya yang sulung, Along belajar di IPTA sejak setahun lepas. Aman, anaknya yang kedua baru habis SPM. Kekadang Syidah rindu pada anak sulungnya, kerana dialah yang boleh diharap. Selalunya kalau Syidah keluar bekerja, Alonglah yang diharapkan untuk menghantar dan mengambil adik adiknya kesekolah. Sekarang sejak Along tiada, dia berharap pada Aman dan Mimi. Mereka jugalah yang diharapkan untuk membantu kerja rumah dan juga homework adik adik mereka. Selalu juga Syidah membantu anak anaknya buat homework, apalagi dalam pelajaram Matematik. Syidah dulu pun masa bersekolah adalah antara pelajar yang mampu. Dia bersekolah hingga lulus STPM dan mendapat tawaran untuk masuk ke maktab perguruan. Tetapi dia tidak pergi.
Lepas Isyak, Syidah bersiap untuk keluar menjalankan kerja megutip wang dari peniaga peniaga kecil yang berhutang pada bosnya.
Hampir habis kerjanya, hujan pun turun renyai renyai. Para pengunjung pasar malam hampir habis pulang kerumah. Mereka melarikan diri dari hujan, takut demam. Tiada yang mahu berjual beli dalam hujan.
Duit sudah dikutip. Syidah simpan dompet wang dalam waist belt nya. Poket sebelah kiri berisi duit. Sebelah kanan handphone yang sudah agak usang. Masih berguna untuk bersms dan buat panggilan talipon. Motor Honda 50cc itu dihidupkan, lalu bergerak agak laju di dalam hujan renyai renyai.
Rumahnya hanya setengah kilometer dari bandar Bando. Dia perlu melintas di persimpangan depan kedai tayar. Ada satu jalan pintas melalui deretan rumah dibelakang kedai tayar itu. Syidah tidak mahu melintas di selekoh depan sekolah, selekoh itu agak berbahaya, terutama dalam hujan.
Ada kereta mengikutinya dari belakang, agak laju dan rapat juga. Syidah memasang indicator sebelah kanan, lalu memperlahankan motornya.
Kaboom! Berdentum bunyi, pelanggan dan pelayan di Sate Hut berdekatan terkejut, lalu beberapa orang bingkas bangun berkejar kejalanraya. Kereta yang mengikuti Shidah tadi tidak sempat membrek, lalu melanggar motor Shidah. Dia terlontar kejalanraya.
Memorinya hanya setakat melambung dari motor lalu jatuh keatas jalan.
Mujur kemalangan itu berlaku di tengah Bando. Mujur ada beberapa orang pelanggan di Sate Hut yang cepat membantunya. Mujur juga hospital hanya seratus meter dari tempat kemalangan.
Shidah tidak sedarkan diri selama 3 hari. Pergelangan kakinya patah, tulang pehanya juga patah. Begitu juga tangan kanannya, patah. Dia dibedah, Tulangnya yang patah di sekeru dengan batang bulat titanium. Shidah terlantar di Hospital Tengku Ampuan Rahimah selama sebulan, sebelum dipindahkan ke Hospital Bando untuk 2 bulan lagi supaya dekat dengan keluarganya.
Sehari selepas kemalangan itu, Leha, adik Shidah meneliti waist belt kakaknya. Ada duit hasil kutipan hasil jualan ayam yang perlu dipulangkan kepada Sofian. Ada talipon bimbit. Leha meneliti nombor contact disitu. Ada satu nombor yang agak asing dan banyak digitnya.Mungkinkah ini kawan lama kakaknya.
Leha lalu mendail nombor itu. Tiada jawapan. Esoknya dia mencuba lagi. Kawan kakaknya perlu tahu apa yang terjadi pada kakaknya. Shidah masih belum sedarkan diri.
Talipon berdering, Ahmad segera mencapainya dari atas meja. Waktu sudah lewat malam.
“Ish sapa pulak yang talipon aku malam begini”
“Hello”
“Hello, saya Leha, adik Kak Shidah” kata seseorang yang tidak dikenali.
“Kak Shidah kemalangan semalam, sekarang masih tidak sedarkan diri di Hospital Klang” sambungnya lagi.
“MasyaAllah, kenapa jadi macam ni” Ahmad mengucap. Dia jadi tidak keruan. Beberapa hari itu Ahmad sering menalipon dan berSMS dengan Leha bertanyakan tentang Shidah. Shidah mula sedar diri selepas 3 hari.
Dua minggu kemudian Shidah mula siuman, bengkak di otaknya sudah susut dan pulih. Dia mula risau, tentang rezeki, dialah tempat anak anaknya bergantung rezeki. Bekas suaminya sudah lama tidak mengambil tahu. Satu sen pun nafkah anak anaknya yang tujuh orang itu tidak diberi. Zakat fitrah? Mungkin tidak.
Ada satu kad baru sampai di meja tepi katilnya. Shidah buka dengan tangan kirinya yang masih utuh.
Dibacanya perlahan lahan…
Anggaplah kejadian ini cobaan dan dugaan dari Tuhan. Allah tidak akan menguji hambaNya melainkan hamba Allah itu mampu menghadapi ujian itu. Hanya hamba Allah yang terpilih sahaja akan di uji oleh Allah dengan kesusahan dan keperitan.
Bila Allah menguji kamu bermakna Allah telah menaikkan taraf kamu sebagai seorang Muslim.
Dan janganlah sesekali engkau bersusah hati tentang dari mana datangnya rezeki kamu. Allah telah sediakan rezeki yang cukup untuk kamu. Cuma mungkin kita tidak nampak dari mana datangnya rezeki itu. Sesungguhnya Allah akan mendatangkan rezeki untuk kamu dari arah yang tidak kau sangka.
Maksud ayat :
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkanlaranganNya), nescaya akan dijadikan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas hatinya. Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukupkan baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang di kehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.
(Ayat 2 & 3 Surah At-Talaq)
No comments:
Post a Comment