Friday, March 05, 2010

Kita Bertemu Di Fesbuk




TIGA
Cerita Buat Mona
http://maps.google.co.nz/maps?hl=en&source=hp&q=gisborne%20river%20mouth&gbv=2&oq=&ie=UTF-8&sa=N&tab=il
http://www.facebook.com/noor.hamzah?v=photos&sb=8#!/photo.php?pid=3138314&id=739829656
Ahmad sudah beberapa tahun tinggal di belakang masjid itu. Sebuah berek bekas bangsal kandang kuda tahun tiga puluhan, atau mungkin lebih tua dari itu. Mungkin bangsal itu di bina untuk kuda. Satu masa dulu, mungkin berpuluh tahun dulu sukan berkuda dan polo amat popular dikalangan warga bandar ini. Malah masih ada track untuk kuda di sekeliling Hagley Park. Kebetulan masjid itu berhadapan dengan Hagley Park. Dijalan Deans Avenue, sempena nama salah seorang pengasas bandar ini.
Malam itu tengah musim dingin, suhu malam selalunya tidak lebih 5 Celcius. Leman kawannya dari bilik sebelah beritahu ada pakcik pakcik tukang sembelih dari Oamaru. Elok pergi jumpa mereka tanya khabar, ada tiga orang, merantau dari Malaysia, tinggalkan anak isteri untuk mencari rezeki di negeri orang.
Kebetulan penyembelih lembu dan kambing dari Malaysia di kehendaki di New Zealand. Bukan apa, mereka rajin bekerja, jujur dan ringan tangan di tempat kerja. Reputasi itu sudah sinonim dengan nama rakyat Malaysia di New Zealand.
Pak Tam tegap orangnya. Kulitnya hitam manis, orang nya arif dalam hal agama. Cakapnya di dengar orang. Bang Malik agak muda, dalam tigapuluhan, pernah bekerja sebagai eksekutif dalam syarikat kerajaan negeri Selangor. Sebelum itu Bang Malik bekerja di pejabat tanah di Selangor. Pak Deris agak berumur, lebihkurang sama tua dengan ayah Ahmad di kampung. Ramah orangnya.
Leman memperkenalkan Ahmad pada Pak Deris, “Ha yang ni orang Tanjong Karang pakcik”. Ahmad menghulurkan salam, sebutkan namanya.
“Kau sekolah kat mana dulu?” Tanya Pak Deris.
“Datuk Harun pakcik” jawab Ahmad pendek, sambil tersenyum. Maksud Ahmad ialah Sekolah Menengah Datuk Harun, di Tanjong Karang.
“Hah kamu tentu kenal anak pakcik, Mona” sergah Pak Deris.
“Oops, dalam hati Ahmad. Ayah Mona rupanya” hati Ahmad berdegup kencang, dia masih tidak berkata apa apa.
“Haa jangan jangan kau ada cerita dengan anak Pak Deris kot, cepat minta maaf.” Kata Leman yang bergiat dalam satu pergerakan dakwah. Sudah menjadi lumrah ahli ahli pergerakan dakwah itu untuk bermaafan waktu berjumpa dan berpisah. Anak anak perempuan adalah tanggungjawab bapa. Kalau kita seorang lelaki berbuat tidak sopan atau dosa terhadap seorang perempuan, maka kita bukan saja berdosa terhadap perempuan itu, malah juga terhadap bapanya.
Pak Deris menukar tajuk. Mungkin dia sedar Ahmad gugup.
“Jadi kamu dulu sama kelas lah dengan anak pakcik si Mona?” Tanya Pak Deris.
“Iya pakcik” jawab Ahmad.
"Kamu dulu pegi rumah pakcik di Parit Tiga sama kawan kawan?"
"Tidak Pakcik, saya tak ikut masa tu"
"Ramai kawan kawan kamu datang rumah pakcik masa tu. Sapa nama sorang tu, Mail ke gitu"
“Mona tu dulu pandai bahasa inggeris, masa tingkatan dua dulu Cikgu Omar bagi dia hadiah sebab pandai bahasa inggeris” sambung Ahmad.

Cikgu Omar mengajar Matematik untuk beberapa bulan sebelum melanjutkan pelajaran ke Amerika.
“Tentulah, Mona dulu sekolah inggeris kat Kelang. Sekolah inggeris convent kat Kelang tu” sambung Pak Deris.
“Pakcik dulu ada restoran kat Kelang, jadi pakcik sekolahkan anak pakcik kat sekolah inggeris tu”
Mereka tidak sambung berbual, hari sudah lewat malam. Tadi Ahmad baru saja balik dari perpustakaan. Dia selalu belajar sampai lewat di perpustakaan, kerana ada suasana belajar.
Esoknya Pak Deris dan kawan kawannya pulang ke Oamaru. Khabarnya Pak Deris gemar memancing bersama kawan kawannya. Dia juga gemar memasak. Boleh kata tak ada can lah untuk kawan kawan serumahnya peluang untuk memasak makan malam kalau Pak Deris ada dirumah.
Tak lama kemudian Bang Malik di pindahkan ke Kaiapoi, tak jauh dari bandar tempat Ahmad tinggal. Hanya 15km sahaja. Maka selalulah Ahmad mengunjungi Bang Malik.
Pak Deris pula pindah tempat kerja ke Gisborne, di pulau utara.
Dia masih gilakan hobinya memancing.
Satu malam mereka pergi memancing seperti biasa di beting pasir kuala sungai Turanganui. Air sungai bertemu air laut. Ikan kahawai dan mullet banyak dimuara. Lapar dan cepat merenggut umpan daging. Untuk ke beting pasir di kuala sungai mereka hanya perlu berjalan kaki diatas pasir. Pasir yang kekadang berubah bila hanyutkan arus. Apalagi bila air bah.
Seronok mereka memancing malam itu, banyak ikan. Hingga mereka lupa untuk melihat dan menanda waktu.
Tiba tiba air pun pasang. Air sungai agak deras malam itu, semalam hujan, agaknya lebih lebat di gunung. Lebih banyak air mengalir ke hilir. Air naik dengan cepat, Sekejap saja sudah sampai ke pinggang.
Ikan entah kemana, mereka cuba berenang dan berjalan ke daratan. Malam itu gelap. Yang dekat nampak jauh. Pak Deris panik. Dia tidak tahu berenang. Dia tiada benda yang boleh digunakan sebagai pelampung. Kawan kawannya cuba menenangkannya, dan cuba membawanya ketepi. Dia masih panic, dia cuba berenang, tangannya cuba bergerak keatas dan kebawah, kakinya sudah tidak berpijak ke pasir.
Pak Deris tertelan air, lalu terpisah dengan kawan kawan nya di malam yang gelap itu.
“Pak Deris! Pak Deris!”
Pak Deris lemas, dihanyutkan air deras. Coastguard menemui mayatnya esoknya.

No comments: