Monday, March 07, 2011

Pasir hitam dari Perut Bumi




Pasir hitam dari Perut Bumi
SATU
Beberapa hari lalu Ahmad pergi ke pasaraya. Lalu di sapa oleh seorang anak muda lewat belasan tahun. “Apa khabar mu?”
“Baik, aku selamat dari gempa dan masih sihat.”
Sebelum ini jarang sekali dapat ketemu anak muda keturunan Kiwi yang mahu bertegur sapa. Masing masing dengan urusan kehidupan sendiri, sudah hilang perasaan prihatin terhadap manusia sekeliling. Mungkin satu kebaikan dari gempa ini ialah kembalinya semangat keprihatinan terhadap manusia sekeliling, semangat tolong menolong sesama manusia. Kesedaran bahawa nyawa itu berharga, tidak ternilai oleh harta benda.
“Apa pendapat mu tentang gempa bumi ini?” soal anak muda itu.
“Apa maksud mu?” soal Ahmad balik.
“Adakah kau seorang yang religious? Kalau kau percayakan Tuhan, bahawa Tuhan akan menyelamatkan semua kita yang percaya kepada Tuhan. God will save us.” sambung anak muda itu lagi, sambil meneguk air tin guarana.
“Ya aku seorang yang religious. Aku percaya Tuhan. Gempa bumi berlaku bila dua tectonic plates bertembung, lama kelamaan stress akan memuncak. Gempa bumi itu boleh diibaratkan sebagai kayu yang dilentur. Sampai satu ketika, kayu yang di lentur akan patah.”
Manusia di Barat berfahaman kebanyakannya berfahaman sekular, membezakan kepercayaan diri, dan urusan kehidupan harian. Mereka tidak faham bahawa sains adalah explanation, penerangan cara Allah melakukan sesuatu kejadian dengan kehendakNya. Sunnatullah.
DUA
2006, lima tahun lalu. Ahmad bekerja waktu malam di sebuah hotel 4 bintang di tengah kota. Tugasnya menjaga keselamatan hotel waktu lewat malam dan melayan keperluan penghuni hotel. Selalunya dia menyediakan makanan dan menghidang arak, selain memunggah beg beg pakaian. Di tengah kota terdapat berpuluh bar dan disko. Muda mudi mengunjungi bar dan disko dari petang sampai kepagi. Selalunya lepas tengah malam kebanyakan mereka sudah terlalu mabuk, lalu keluar ke jalan dan kaki lima melalak dan muntah. Kelakuan yang menjelekkan, apalagi kebanyakan yang melalak dan menyanyi perempuan muda belasan tahun yang berpakaian menjolok mata. Pada tahun tahun 2006 dan 2007, kebanyakan muda mudi yang mengunjungi bar dan disko itu adalah Kiwi dan segelintir keturunan Samoa dan Maori. Pernah sekali Ahmad terserempak dengan seorang pemudi Melayu di depan hotel, pemudi itu berseluar jeans dan T-shirt, dan bertudung. Agaknya dia keluar berjalan jalan dengan kawan kawan, pukul 1 pagi.
Suasana tengah kota pukul satu pagi seperti satu pesta arak. Muda mudi berpeleseran dalam keadaan mabuk. Kupu kupu malam berdiri di persimpangan jalan. Botol botol bir ditepi longkang. Pasangan bercumbuan di perosok tepi kedai, muda mudi kencing di lorong gelap tepi jalan.
Selepas 2007, salah sebuah negara Timur Tengah mula menghantar anak anak muda mereka ke Christchurch untuk belajar di institusi institusi pengajian tinggi. Anak anak muda ini masih awal dua puluhan tahun, mungkin baru pertama kali keluar kepompong keluarga. Mereka belajar Bahasa Inggeris, university foundation studies dan kemudian masuk ke university di Christchurch.
Waktu malam, terutama malam minggu, loghat Arab Timur Tengah banyak kedengaran di tengah kota. Ahmad selalu keluar ke perkarangan hotel, ramai pemuda pemuda Arab berjalan jalan, ada juga yang berpasangan dengan pemudi Kiwi. Disko dan bar menjadi tempat berkunjung pemuda pemuda Arab itu.
Pernah Ahmad melihat seorang pemuda Arab berpegang tangan dengan pemudi Kiwi di depan masjid pada satu tengahari Jumaat.
Semakin ramai pelajar dari Timur Tengah datang belajar di Christchurch. Beberapa peniaga Arab mula membuka kedai kedai kebab di kota. Imigran Hindi pula berniaga nasi basmati dan kari ayam butter chicken. Pelarian dari Afghanistan dan Somalia menjadi pengusaha teksi, mencari rezeki larut malam, menghantar pulang pemabuk waktu dinihari.
Hisham Al Zeiny dalam khutbah Jumaatnya pada minggu berlakunya gempa bumi itu berkata gempa dan musibah adalah peringatan Allah pada hambanya yang beriman. Jika musibah berlaku pada diri kita, itu adalah peringatan Allah pada kita seorang diri, tanda Allah sayang pada kita. Biarpun hanya tertusuk duri, itu adalah rahmat Tuhan, mungkin itu untuk menebus dosa kita. Setiap diri orang yang beriman itu ada tarafnya disisi Tuhan. Ingatlah, Tuhan hanya beri ujian pada hambaNya yang disayangi, dan tidak di beri ujian itu kalau kita tidak mampu melaluinya.
Tetapi apabila bencana dan musibah itu melanda sebuah kota, daerah atau negeri, itu tanda ada sesuatu kesalahan yang dilakukan oleh orang orang yang beriman di kota/negeri itu. Hisham Al Zeiny pernah berkhutbah selepas gempa September lalu, Tuhan mengingatkan kita di bulan Ramadan. Waktu itu hanya beberapa hari sebelum Eid ul Fitr. Belum pun enam bulan gempa berlaku lagi, kali ini banyak mengorbankan nyawa. Kata Hisham Al Zeiny, kalau ini amaran Tuhan yang lebih keras, amat buruklah padah kita bila hukuman Tuhan nanti sampai. Semoga inilah hukuman Tuhan pada kita.
Kita umat Islam di Christchurch lupa pada tugas kita, iaitu amal makruf nahi mungkar. Malah kita sama sama mencari rezeki dari kemungkaran orang kafir di sekeliling kita. Ada antara kita sama sama melakukan kemungkaran, dan mengikut ikut orang kafir. Biarlah orang kafir, jangan kita berkelakuan seperti mereka.
TIGA
Waktu gempa berlaku air dan pasir memancut keluar dari dalam tanah. Fenomena ini dipanggil liquefaction. Lagi lama dan besar gempa itu diukur dengan skala Richter lebih banyaklah air dan pasir akan memancut keluar dari tanah. Tetapi ini bergantung juga pada paras air bawah tanah, water table. Effect gempa bumi seperti hujan lebat seharian. Pasir itu bila kering dan ditiup angin kering musim panas akan berterbangan, alam sekeliling seperti dilanda ribut pasir, memedihkan mata dan mengganggu pernafasan. Kalau kita masukkan pasir, batu, tanah kedalam gelas atau baldi, kemudian penuhkan dengan air, kemudian goncang baldi itu seperti berlakunya gempa bumi, nescaya batu dan tanah akan bergerak dan memerlukan ruang yang lebih besar di dalam baldi itu. Maka air dan pasir pun menggelegak keatas. Liquefaction.

No comments: