Wednesday, March 23, 2011

Surat Rezeki


Surat Rezeki
Satu
Azlan berasal dari Taiping. Ayahnya meninggal ketika dia masih kecil. Sejak itu ibunya menjanda, mereka tinggal sebilik di rumah keluarga ibunya. Keluarga ibunya tidak punya harta yang banyak atau tanah untuk bercucuk tanam. Ibunya bekerja di kilang untuk menanggung mereka anak beranak, dengan gaji $80 sebulan. Masa itu tahun tujuhpuluhan. Setiap hari makan nasi dengan mee segera.
Masa berlalu, Azlan seorang yang rajin dan pandai. Dia mendapat keputusan cemerlang dalam SPM dan berpeluang melanjutkan pelajaran ke New Zealand. Habis belajar dia pulang ke tanahair, lalu bekerja di beberapa syarikat swasta sebelum mendapat tawaran bekerja di ITM sebagai seorang pensyarah.
“Boring” kata Azlan. “Dua bulan pertama tu mungkinlah kena prepare, lepas tu ulang balik macam kaset player.”
Azlan berpindah kerja beberapa kali, akhirnya berhijrah ke kota Gempa mengikut isterinya yang melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana. Beberapa tahun kemudian pulang ke tanahair, dan memilih untuk bekerja sendiri sebagai penasihat kewangan, setelah puas mencuba mendapatkan kerjaya yang setimpal dengan kelulusan dan pengalamannya.
Dua
Ahmad anak kampung, ayahnya ada sebidang tanah. Disitulah rezeki mereka, kelapa dijual untuk membiayai persekolahan adik beradiknya. Ayahnya mengambil upah mengait kelapa untuk menampung keperluan seharian. Ahmad seorang budak pendiam, dia ada masalah self confidence, dan tidak pandai bergaul dengan orang, tetapi dia rajin dan sabar serta menpunyai ingatan visual yang kuat. Kekuatan otaknya menyebelah kekiri, pandai matematik, fizik dan memahami yang abstrak, tetapi lemah dalam berkomunikasi dan pergaulan. Dia hidup dalam dunianya sendiri.
Berkat doa orang tuanya, Ahmad berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara, lalu tinggal bertahun tahun bermastautin di kota Gempa. Asyik bertukar tukar kerja tanpa ada satu kerjaya yang kekal.
“Boring dan hambar, semua dah tahu. Tak ada challenge” kata Ahmad.
Masalah orang pandai, mereka perlu stimulasi otak, perlu challenge dalam kehidupan. Perlu kembara dan mencari pengalaman baru setiap waktu.
Tiga
Satu tengahari Jumaat di bulan Januari.
Ahmad habis kerja awal pagi itu. Lalu bergegas pulang kerumah, mandi dan terus ke masjid. Dia memang semestinya datang awal ke masjid setiap Jumaat. Ada masa untuk duduk di dinding tepi, baca Yasin dan Kahfi. Tapi tengahari itu dia nampak kawan lamanya yang sudah bertahun tidak bertemu. Rambutnya sudah mula beruban, masih bermisai lebat, tapi misainya ada uban. Masa telah lama berlalu, sudah 30 tahun Ahmad mengenali Azlan, sejak mereka sama sama memasuki ITM sebagai anak anak muda harapan negara.
“Assalamualaikum, kau bila sampai”
“Walaikumsalam, heh baru seminggu ni. Memang aku agak mesti jumpa hang kat masjid ni”
Ahmad sejak beberapa tahun kebelakangan ini sudah mula keep in touch dengan kawan kawan lama melalui laman fesbuk. Manakala Azlan meminggir diri dan hanya berkomunikasi dengan beberapa kawan rapat melalui emel atau talipon. Ahmad dan Azlan mempunyai masalah yang sama, inferiority complex.
Hari itu Ahmad bercerita tentang perkembangan kawan kawan lama mereka di tanahair. Kawan kawan mereka ramai yang telah mula menerajui dan mengemudi ekonomi dan pentadbiran negara. Ada yang telah kaya raya dan punya syarikat besar.
“Kita ni masih macam ni ye.”
“Rezeki tu masing masing.” kata Ahmad.
Petang itu mereka mula bercerita tentang rezeki.
“Sebenarnya kita semua ni ada bahagian masing masing. Dan tidak akan luak bahagian kita kalau kita berikan sebahagian dari rezeki kita pada orang lain sebagai sedekah.” kata Ahmad.
Bagi orang kafir, cara mereka mudah, mereka dapat apa yang mereka usahakan. Kerja kuat, usaha kuat dan smart, maka banyaklah yang mereka dapat. Tambah lagi kalau mereka berbuat kebaikan, maka Tuhan akan beri mereka kebaikan dan rezeki dengan setimpal. Semuanya mereka dapat di dunia ini. Allah yang Maha Adil. Bila sampai Hari Pengadilan nanti, tidak ada alasan untuk orang kafir untuk menuntuk syurga dari Allah kerana masih ada lagi kebaikan yang mereka buat di dunia yang Allah masih belum beri balasan. Begitulah adilnya Allah terhadap hamba hambanya.
Bagi kita orang yang Islam dan beriman, di sisi Allah ada taraf kita. Allah beri kita peluang untuk mencapai taraf itu, kesusahan dan musibah yang kita hadapi di dunia itu adalah peluang yang Allah berikan kepada kita untuk menebus dosa, dan naiknya taraf hambanya di sisi Allah. Allah limpahkan rezeki dalam berbagai bentuk; kesihatan, harta benda, kelapangan, bersilaturahim. Setiap keperluan kita Allah telah sediakan, cuma kita hanya perlu mengambilnya. Kita pun perlu tahu apa itu rezeki dan apa itu dugaan.
Masa kita di dunia inilah peluang kita untuk berbuat amal dan kebaikan untuk bekalan kita nanti di alam satu lagi. Lepas kita mati, buku kita dah tutup, kecuali tiga perkara yang pernah kita buat di dunia;
1. Ilmu agama dan/atau ilmu dunia yang kita ajarkan yang memberi manfaat.
2. Harta benda yang kita wakafkan kejalan agama.
3. Anak anak yang soleh dan solehah yang mendoakan untuk kita.
Selalunya orang tak dapat peluang semua tiga ini. Kecuali kalau seseorang itu buat sesuatu yang extra dalam hidupnya, seperti berbakti kepada kedua ibubapanya.
“Aku pun selama berbelas tahun ini jaga emak aku” kata Azlan. “tapi iyalah, kan rezeki tu masing masing.”
“Sebenarnya ada cara untuk menambah rezeki.” terang Ahmad.
Kalau kita nak murah rezeki, selalulah buat sembahyang Dhuha.
http://www.brunet.bn/gov/mufti/alhadaf/mac99/h_dhuha.htmDan doanya: " Ya Allah, bahawasanya waktu Dhuha itu waktu DhuhaMu, kecantikan itu ialah kecantikanMu, keindahan itu keindahanMu, kekuatan itu kekuatanMu, kekuasaan itu kekuasaanMu dan perlindungan itu perlindungan Mu. Ya Allah jika rezekiku masih diatas langit, turunkanlah dan jika ada di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar mudahkanlah, jika ia (dari yang) haram maka sucikanlah, jika masih jauh dekatkanlah, berkat waktu Dhuha, Keagungan, Keindahan, Kekuatan dan Kekuasaan Mu, limpahkanlah kepada hamba-hamba Mu yang saleh ."
Amalkanlah membaca Ayat Seribu Dinar setiap kali lepas sembahyang.

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya akan dijadikan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya).
Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas hatinya. Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukupkan baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang di kehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.
(Ayat 2 & 3 Surah At-Talaq)

Selain itu berbanyak banyak bersedekah dan beramal jariah, kerana Allah akan membalas amal baik kita berganda ganda.
Allah akan datangkan rezeki kepada kita dari arah yang tidak di sangka sangka. Allah akan beri kita idea dan usaha kita nanti akan menjadi. Rezeki kita itu nanti tak semestinya dalam bentuk harta benda. Mungkin dalam bentuk kelapangan dan kesenangan hati, anak anak dan isteri isteri yang menyenangkan hati dan menggembirakan, kesihatan tubuh badan dan kemampuan untuk berbuat amal ibadat dan amal jariah. Juga kebolehan dan skill untuk berbuat sesuatu yang boleh member manfaat kepada manusia. Allah beri peluang untuk beribadah itu adalah nikmat yang amat besar.
Epilog
Azlan pulang ke tanahair, untuk menyambung tugasnya berbakti kepada ibunya. Dua hari sebelum itu Allah beri dia peluang untuk merasai gempa bumi berukuran 5.1 pada skala Richter. Rezeki Azlan, Allah peringatkan bahawa dunia ini adalah sementara.
Ahmad masih menetap di kota Gempa. Allah berinya peluang lagi untuk merasai beberapa gempa bumi antaranya sebesar 6.3 yang mengorbankan banyak jiwa.

1 comment:

He he said...

Interesting la cerita kau. Ni boleh buat novel ni...