Friday, May 18, 2012

Harta Untuk Michael


SATU – Anak Papa Aotearoa

DI satu masa, di sebuah daerah perkampungan ghetto di pinggir kota ada seorang anak kecil lelaki bernama Michael. Michael ada empat orang adik beradik seibu. Dia bersekolah rendah di kampungnya, sebuah sekolah serba kekurangan yang di klasifikasikan sebagai sekolah ‘Decile 1’ oleh jabatan pelajaran negeri. Kadang kadang Michael pergi sekolah, kadang tidak, kerana dia perlu menolong ibunya menjaga adik adiknya sementara ibunya keluar rumah. Ibu Michael tidak bekerja, dia seorang solo mother. Kerajaan negeri memberi bantuan sara hidup sekadar cukup untuk makan dan sewa rumah. Michael tidak kenal siapa bapanya. Malah ibunya pun tidak tahu. Dari adik beradiknya, kakaknya yang sulung tahu siapa bapanya, seorang pemain ragbi yang kini tinggal di Gold Coast.

 Ibu Michael, Marama tidak pernah berkahwin. Masa mudanya Marama seorang yang cantik, punya bentuk badan yang menggiurkan pada lelaki. Marama tidak punya kebolehan lain yang boleh menjamin masa depan. Dan dia pun tidak pernah memikirkan tentang masa depan, yang penting adalah masa kini, keseronokan, keindahan dan ‘kuasa’nya keatas lelaki lelaki yang mengidamkan dirinya. Seluruh usahanya semasa muda ditumpukan untuk menarik perhatian lelaki yang paling ganteng, tampan dan berjaya. Maka lelaki lelaki ganteng dan tampan itu pun meraikan Marama dengan wang, kekayaan dan kesenangan. Sehinggalah Marama termengandung. Entah mengapa pada masa itu dia sangat cinta pada pemain ragbi itu. Dan bila saja Marama memberi tahunya yang dia mengandung, ahli sukan ragbi itu pun terus menghilangkan diri, pergi ke negeri lain untuk bermain dengan kelab yang lebih ulung. Untunglah zaman ini dengan adanya internet dan google. Maka bila kakak sulung Michael bertanya siapa bapanya, Marama boleh menuliskan namanya dengan betul.

Lain pula pada Michael, ibunya tidak tahu, dia tidak boleh menjawab bila ditanya. Selepas kelahiran kakaknya, ibunya sudah tidak boleh keluar berpoya poya seperti dulu. Masa dia mengandung Marama terpaksa bertungkus lumus bekerja di sebuah pasaraya untuk menanggung dirinya dan mengumpul duit untuk keperluan bayinya yang akan lahir. Kemudian bila dia sudah jadi ibu, dia sudah layak mendapat bantuan kerajaan sebagai solo mum. Duit yang sekadar cukup untuk sewa rumah dan makanan asas. Kalau dia perlukan lebih dia perlu berusaha. Bila sudah ada anak kecil, tambahan pula dengan kekangan kewangan, masa dan tiada kelulusan yang boleh diperagakan tiadalah kerjaya yang boleh didapati selain memperagakan diri. Dari situlah hasilnya Michael, juga adik adiknya yang lain hasil hubungan ibunya dengan lelaki lelaki yang kasihan pada nasib mereka.

Kesimpulannya, keturunan zuriat golongan ini mengikut rumusan Darwin “The Theory of Natural Selection of Species”. Biar pun begitu, semua makhluk Tuhan di mukabumi ini punya hak untuk hidup, menikmati keindahan dan limpah kurniaNya. Punya hak untuk sesuap roti dan seteguk susu, juga rumah untuk berlindung dari sejuk dan hujan. Tidak kira samada makhluk itu manusia, burung ataupun ulat didalam batu. Telah Allah sediakan untuk mereka rezeki dan tempat tinggal selama masih ada nyawa mereka.


DUA – Anak Emas Semenanjung

Fuad bin Hassan seorang yang terpelajar. Dia ada isteri dan dua orang anak. Anak anaknya cerdas dan pandai. Isterinya sedang menghabiskan thesis untuk PhD dalam bidang mikrobiologi. Mereka datang keAotearoa dengan biasiswa pemerintah negeri Semenanjung. Dahulu isterinya mengajar di universiti di Semenanjung, sementara Fuad menjalankan perniagaannya sendiri dalam bidang IT.  Ayah Fuad seorang pegawai tinggi di negeri Semenanjung, pengarah satu jabatan kerajaan, layak mendapat elaun itu dan ini. Mereka punya dua buah rumah di Bukit Damansara, daerah mewah di kota Lumpur. Puluhan tahun dulu, di awal kemerdekaan Semenanjung, nenda Fuad, Tuan Haji Husin adalah seorang ulama pejuang kemerdekaan yang disegani masyarakat. 
Sudah lima tahun Fuad menetap di kota Gempa. Sementara isterinya berusaha menghabiskan thesis di makmal unversiti, dan anak anaknya bersekolah, Fuad bekerja sepenuh masa di sebuah kilang di kawasan industri di pinggir kota.  Gajinya sebagai pekerja kilang setelah di tolak cukai ialah 450 dolar seminggu. Selain dari itu pemerintah negeri member bantuan untuk subsidi sewa rumah sebanyak 100 dolar, juga bantuan sara hidup untuk dua orang anaknya sebanyak 95 dolar seminggu.  Jadi pendapatan mingguannya 645 seminggu. Dia perlu membayar sewa rumah 350 dolar seminggu. Sementara itu gaji bulanan isterinya semasa bekerja di universiti Semenanjung masih berjalan. Sebenarnya dia tidak perlukan bantuan sara hidup untuk anak anaknya yang 95 dolar itu, tapi di ambil juga sebab dia layak menerimanya, lalu di simpannya dalam akaun ASB anak anaknya. Untuk masa depan anak anaknya, katanya. Sekarang, setelah lima tahun, angka dalam akaun itu sudah mencecah dua puluh ribu. Gaji isterinya dari university yang masih berjalan itu di gunakan untuk membayar rumah dan kereta mereka di Semenanjung. Sementara biasiswa dari kerajaan semenanjung pula digunakan untuk sara hidup tambahan selain gajinya. Fuad tidak pernah memberitahu Jabatan Hasil Negeri Aotearoa bahawa dia menerima biasiswa dan juga gaji university. Sudah pasti dia tidak layak menerima bantuan subsidi sewa rumah dan juga sara hidup anak anak jika hal ini di ketahui Jabatan Hasil Negeri  Aotearoa.

TIGA

Dari Surah AlKahfi
Satu masa di zaman yang lampau, Nabi Musa dan Nabi Khidr sampai di sebuah perkampungan. Mereka dapati orang orang kampung di situ kedekut dan tidak mahu melayang mereka. Secebis makanan pun tidak diberi bila mereka minta. Apalagi bila mereka mahu menumpang bermalam. Di kampung itu mereka menemui sebuah tembok yang condong hampir runtuh. Lalu Nabi Khidr pun membina semula tembok itu, membetulkan semula seperti sediakala. Nabi Musa pelik, kenapa mereka perlu membina tembok itu, sedangkan penduduk kampung itu kedekut dan sombong, dan tidak memberi  mereka makanan, sedangkan mereka penat dan lapar. Lalu Nabi Musa pun bertanya akan hal itu kepada Nabi Khidr.
“Bukankah sudah aku katakana, kau tidak punya kesabaran.” Jawab Nabi Khidr.
Disaat perpisahan, Nabi Khidr menerangkan kepada Nabi Musa bahawa di bawah tembok itu ada harta yang di simpan oleh ayah kepada dua orang anak yatim yang tinggal di rumah itu. Jika tembok itu runtuh, maka harta itu akan terdedah. Ayah kepada anak anak yatim itu adalah seorang yang saleh, dan bila anak anak yatim itu sudah besar, mereka akan mendapat harta itu sebagai Rahmat dari Tuhan dan menggunakannya kearah kebaikan.
Begitu Tuhan menjaga hak anak anak yatim dan miskin. Besarkan keburukan dan dosa pada sesiapa yang memakan hak dan harta anak anak yatim dan miskin.

Kisah Khalifah Umar AlKhattab
Satu masa dizaman pemerintahan Khalifah Umar AlKhattab. Seorang ibu miskin, suaminya mati syahid dalam satu peperangan. Mereka hidup miskin, tiada suami yang menanggung mereka anak beranak; solo mother. Anak anak menangis kelaparan, lalu si ibu menjerang air dan memasukkan beberapa biji batu kedalam periuk.  Buat menghiburkan anak anak, biar mereka tertidur menunggu makanan masak dalam periuk, sedangkan sebenarnya tiada makanan dalam periuk, hanya batu. Ibu itu merintih, andainya suaminya masih hidup, tidaklah keadaan jadi sebegitu buruk. Akan di tuntut nanti di hari pengadilan di Padang Mahsyar nanti pada Khalifah Umar, pemerintah negeri. Kebetulan Khalifah Umar selalu keluar malam hari, mengintip keadaan sebenar rakyatnya, lalu mendengar rintihan ibu tunggal itu. Khalifah Umar lalu pulang ke Baitul Mal, gudang simpanan harta kerajaan negeri masa itu. Lalu di pikulnya sendiri seguni gandum, dan dihantarkannya sendiri kerumah ibu tunggal itu. Apabila hamba Umar meminta untuk memikul guni gandum itu, Umar menjawab, “Bukan kau yang akan dibawa kepengadilan nanti, tapi Umar”.

Tiadalah bezanya antara harta pemerintah Aotearoa dan cara pembahagian hak untuk golongan miskin dan kurang upaya dengan mana mana pemerintahan berteras Islami. Pemerintahan Aotearoa mendapat hasil dari cukai dan jualan asset lalu di gunakan untuk belanja pemerintahan negeri, pertahanan, pendidikan dan sara hidup golongan miskin dan kurang upaya yang berhak mendapat bantuan kerajaan. Maka apabila golongan kaya, walaupun layak, mengambil harta dari hasil cukai, maka berkuranglah budget untuk golongan yang benar benar layak dan memerlukan, seperti Michael.
Apalah bezanya orang kaya yang mengambil bantuan sara hidup kerajaan Aotearoa itu dengan golongan yang memakan harta anak yatim.

No comments: