Nabi SAW Suruh Berkahwin Banyak Untuk Tambahkan Rezeki?
copy and paste dari blog asal http://bin-sahak.blogspot.co.nz/2014/08/benarkah-nabi-saw-suruh-berkahwin.html Benarkah Nabi SAW Suruh Berkahwin Banyak Untuk Tambahkan Rezeki? Soalan: Mohon kepastian daripada Ustaz. APakah kisah ini benar dari Rasulullah SAW?: Pada suatu hari, Rasulullah S.A.W. didatangi oleh seorang lelaki. Lelaki ini mengaku dirinya seorang yg miskin. Kemudian, ia meminta jalan keluar agar terlepas daripada belenggu kemiskinan. Rasulullah S.A.W. menyuruh lelaki itu berkahwin. Lelaki itu sangat senang dengan saranan yg diberikan Rasulullah S.A.W. Setelah sekian lama berkahwin, lelaki itu datang lagi kepada Rasulullah dan mengadu nasibnya yang tetap miskin. Rasulullah menyuruh dia berkahwin lagi, Si lelaki terlalu yakin tidak mungkin Rasulullah mahu menipu umatnya. Akhirnya lelaki itu berkahwin lagi. Namun beberapa waktu kemudian, lelaki itu datang lagi kepada Rasulullah S.A.W. "Kahwin lagi," jawab Rasulullah S.A.W. singkat. Kemudian dia berkahwin buat kali ketiga. Namun setelah beberapa lama, keadaan tetap juga belum berubah. Mulanya dia malu untuk mengaku lagi kepada Rasulullah S.A.W., tapi apakan daya dia masih tetap miskin. Dengan berat hati, beliau mendatangi Rasulullah dan menyampaikan masalahnya. "Ya Rasulullah, engkau telah menyuruhku menikah untuk ketiga kalinya, tapi aku tetap miskin. Sekarang apa yg harus aku lakukan?," adu lelaki itu. Rasulullah tetap menyuruh berkahwin lagi. Sabda Rasulullah S.A.W. "Carilah rezeki dengan menikah," (Riwayat Ibn Abbas) Jawapan: Wallau a'lam, riwayat yang paling hampir ialah yang diriwayatkan oleh al-Khatib al-Baghdadi daripada Jabir bin ‘Abdillah RA yang berkata: جاء رجل إلى النبي صلى الله عليه وسلم يشكو إليه الفاقة ، فأمره أن يتزوج Maksudnya: “Seorang lelaki datang kepada Nabi SAW mengadu tentang kefakirannya. Lalu baginda mengarahkan dia berkahwin.” (HR al-Khatib al-Baghdadi di dalam Tarikh Baghdad 1/365) Namun hadis ini sanadnya tidak sahih seperti yang dinyatakan oleh al-Zahabi di dalam al-Mizan dan Ibn Hajar di dalam al-Lisan disebabkan ada seorang periwayat bernama Ibrahim bin al-Munzir. Kata Ibn Hibban: “Tidak boleh berhujjah dengannya.” Sekalipun demikian riwayat ini mengandungi maksud yang benar berdasarkan beberapa athar dari sebahagian sahabat seperti ‘Umar, ‘Aisyah, Ibn Mas’ud, Ibn ‘Abbas dan lain-lain yang sebahagiannya sahih secara mauquf atau sanadnya sahih sehingga sahabat. Demikian juga maksudnya terkandung di dalam firman Allah SWT: وَأَنْكِحُوا الْأَيَامَى[1] مِنْكُمْ وَالصَّالِحِينَ مِنْ عِبَادِكُمْ وَإِمَائِكُمْ إِنْ يَكُونُوا فُقَرَاءَ يُغْنِهِمُ اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ Maksudnya: “Dan kahwinilah orang-orang yang bujang lelaki dan perempuan diantara kamu dan orang-orang yang layak dari kalangan hamba sahaya lelaki mahupun perempuan. Jika mereka miskin Allah akan cukupkan mereka dengan kurniaanNya. Dan Allah Maha Luas (pemberiannNya) lagi Maha Mengetahui.” (al-Nur: 32) Ketika menafsirkan ayat ini al-Imam Ibn Kahir berkata: “ Dan firman Allah Taala: “Jika mereka miskin, Allah akan cukupkan mereka dengan kurniaanNya. Dan Allah Maha Luas (pemberiannNya) lagi Maha Mengetahui” ‘Ali bin Abi Tolhah berkata: “daripada Ibn ‘Abbas: “Allah menggalakkan berkahwin, dan DIa mengarahkannya kepada yang merdeka mahupun yang hamba. Dan DIa juga berjanji kepada mereka semua dengan kekayaan dengan firmannya: “Jika mereka miskin Allah akan cukupkan mereka dengan kurniaanNya”. Ibn Abi Hatim berkata: “Menceritakan kepada kami Mahmud bin Khalid al-Azraq, menceritakan kepada kami ‘Umar bin ‘ABd al-Wahid, daripada Sa'ied iaitulah Ibn ‘Abd al-‘Aziz katanya: “Telah sampai kepadaku bahawa Abu Bakr al-Siddiq RA berkata: “Taatilah Allah dalam apa yang diperintahkanNya kepada kamu semua dalam urusan perkahwinan. Dia akan kurniakan kepada kamu semua apa-apa yang dijanjikanNya dari kekayaan. DIa berfirman: Jika mereka miskin Allah akan cukupkan mereka dengan kurniaanNya.” Daripada Ibn Mas’ud yang berkata: الْتَمِسُوا الْغِنَى فِي النِّكَاحِ “Carilah kekayaan pada perkahwinan, Allah SWT berfirman: "Jika mereka miskin Allah akan cukupkan mereka dengan kurniaanNya.” Diriwayatkan oleh Ibn Jarir, dan disebut oleh al-Baghawi daripada ‘Umar riwayat yang seumpama ini.” Wallahu a’lam. [1] Al-Ayama ialah kalimah plural untuk al-Ayyim الأيِّم. Dikatakan ia memaksudkan kepada wanita yang tiada suami dan lelaki yang tiada isteri sama ada yang bujang mahupun anak dara, duda mahupun janda. Lihat Tafsir Ibn Kathir.