Thursday, March 18, 2010

Kita Bertemu Di Fesbuk




LIMA

Pelayaran yang berakhir.

Julai 1989.
Satu iklan di papan tanda di hostel kembara di tengah bandar Christchurch.

“Kami adalah pasangan tua pelayar mengelilingi dunia. Buat masa ini kami balik bercuti di rumah kami di Waikuku, setengah jam dari sini. Kami telah belayar dari Cairns ke Singapura melalui Archipelago Indonesia. Dari Singapura, kami ke Bangkok kemudian ke Manila dan ke Samoa. Pelayaran terakhir kami ialah dari Samoa ke Baja California di Mexico. Selepas ini kami mahu meneruskan pelayaran dari Baja melalui Panama Canal ke Caribbean dan seterusnya ke London. Buat masa ini kapal layar kami sedang di baiki di Baja.
Kami perlukan seorang lagi pelayar untuk bersama kami.
Wang yang anda perlukan: tambang kapal terbang dari NZ ke Mexico dan anggaran perbelanjaan harian lebihkurang $10 sehari selama pelayaran selama 3 bulan.
Sila tulis surat kepada kami”

“Ini peluang yang bagus” kata hati Ahmad. Dia perlukan sesuatu yang baru, pengalaman yang baru. Hidupnya sekarang sudah mula menjemukan. Kerjanya sudah hambar.

Ahmad mencongak duitnya di bank, baru ada $3000. mungkin hanya cukup untuk tambang kapal terbang ke Mexico. Dia perlukan lebih dari itu, perbelanjaan seharian selama pelayaran, dan seterusnya dari London pulang ke tanahair.
Berapakah yang dia perlukan lagi? Mungkin $5000, tetapi $7000 lebih memadai.

Malam itu Ahmad menulis surat kepada pasangan tua pelayar itu. Dia amat berminat sekali untuk pergi menjelajah Amerika Latin dan Caribbean.
Mungkinkah disana panas seperti Malaysia? Tentu sekali.
Ahmad ingin sekali untuk ikut sama belayar dengan pasangan tua itu.
Esoknya, ada artikel pendek di suratkhabar, bercerita tentang pasangan tua itu dan pelayarannya di Indonesia dan Thailand. Panorama pemandangan sungguh cantik di laut. Mereka dapat bertemu penduduk tempatan yang punya adapt dan cara kehidupan yang amat berlainan dengan kehidupan di barat.

Bagaimana mahu mencukupkan wang untuk pelayaran itu? Ahmad ada $7000 yang di simpannya di Malaysia. Dia boleh meminta abangnya keluarkan wang itu. Dia pun menulis surat kepada abangnya.

Hujung minggu itu Ahmad bertemu pasangan pelayar tua itu di rumah mereka. Tidak ada orang lain yang berminat untuk belayar merentasi Panama bersama mereka.

Hari mereka bertolak ke Mexico pun dipersetujui, sebulan dari hari itu. Tidak perlu membuat banyak persediaan bekalan, kebanyakan keperluan memasak sudah sedia ada di kapal layar itu, yang perlu mungkin pakaian seharian dan badan yang fit untuk tugasan sebagai pelayar.

Petang itu juga Ahmad mula berlatih, berlari sejauh 5km setiap petang.
Perjalanan ke Mexico mengambil masa yang lama. Dari Auckland mereka pergi ke Los Angeles, bertukar kapal terbang ke Mexico City, kemudian barulah mereka pergi ke La Paz, sebuah bandar kecil di negeri Baja California Sur. Laut Gulf California itu tenang dan cantik. Suhu hariannya tinggi, sehingga 90 ke 100 Fahrenheit. Airnya kehijauan.

Tanah ini gersang, hanya pasir dan batu. Hanya pokok pokok yang tahan panas dan mampu menyimpan air saja yang mampu hidup disini. Siangnya panas hingga 100 Fahrenheit.

Puluhan tahun yang lalu, hanya nelayan dan pelaut yang bermastautin di sini. Ataupun manusia manusia yang di buang negeri, juga yang melarikan diri dari masyarakat. Dulunya disini tiada masyarakat.
Namun pelancongan merubah segalanya. Musim sejuk, suhu di sini masih lagi hangat seperti musim bunga di latitude tinggi. Bergerombolan anak anak muda Amerika turun kesini, menghabiskan percutian di destinasi murah ini. Berjemuran di pantai dengan pakaian sebesar benang, dan berpesta waktu petang ke pagi. Inilah destinasi murah, muda mudi Amerika hanya perlu menaiki bas atau teksi kesini, harga penginapan lebih murah dari bilik mereka di Los Angeles atau Stockton.

Maka hiduplah malam di La Paz, pesta yang tiada penghujung.

Tidak kenal tua atau muda, usia hanya di fikiran,

Disitulah Ahmad mula mengenal alkohol. Ianya bermula dengan pasangan tua itu mengajak Ahmad makan malam di restoran di pinggir pelabuhan. Makanan laut hidangan yang enak malam itu. Specialty restoran bandar tepi laut ini. Ramai manusia lain makan malam disitu, musik orang Mexico mirip musik dari Sepanyol, yang amat mirip musik Arab. Sungguh mengasyikkan.

Monday, March 08, 2010

Kita Bertemu Di Fesbuk



Kita Bertemu Di Fesbuk

EMPAT
Seribu Kepahitan dan Seribu Dinar

Petang Ahad. Warga bandar Bando berpusu pusu di pasar, membeli keperluan seharian seperti ikan, ayam dan sayuran. Buah oren dan laici masih segar lagi, baru sampai dari Siam. Kobis bulat baru di buka dari bungkusan kertas suratkhabar lama, kotaknya masih sejuk, baru siang tadi peniaga Cina membawa turun dari Cameron. Peniaga ayam goreng dan ayam percik begitu sibuk berjualan. Nyata ramai warga Bando lebih senang membeli lauk siap untuk juadah malam itu. Ros yang berniaga sate ayam dan daging sibuk membungkus sate yang dibeli pelanggan sambil fikirannya mengira berapakah keuntungannya hari itu.
“Sudah dapat lima puluh ringgit, maknanya sudah untung lebihkurang tiga puluh, dapatlah sekampit beras untuk minggu ini” Ros mengelamun sambil melayan pelanggan.

Ros membeli ayam dari Sofian, di potong kecil kecil, kemudian di cucuk dengan buluh sate. Sofian, kawan sekolahnya sejak belasan tahun dulu kini menjadi towkay ayam di bandar itu. Sofian seorang peniaga yang baik, sanggup membantu peniaga peniaga kecil lain di Bando, walaupun kerana murah hatinya kekadang dia kekurangan modal dan terpaksa meminjam dari bank.

Sudah lumrah orang kampung, keperluan wang melebihi pendapatan, dan begitu juga pada peniaga peniaga di Bando, keuntungan hasil perniagaan petang Ahad itu akan lebur di belanjakan untuk keperluan dapur dan anak anak sekolah mereka.
Sofian faham akan masalah itu, jadi dia mengupah Syidah, salah seorang pekerjanya untuk mengutip hutang ayam yang didahulukannya malam itu juga, sesudah pasar malam bersurai. Malam itu Syidah mengutip hutang bosnya seperti biasa, dari peniaga ayam percik dihujung pasar, kemudian peniaga ayam goreng dan seterusnya.

Sebenarnya Syidah sudah terlalu penat malam itu, dia telah keluar bekerja sejak pukul 6 pagi itu. Pasar basah tempat dia bekerja sudah mula dikunjungi warga Bando seawal 7 pagi. Dia perlu membantu Omar rakan sekerjanya menyediakan ayam untuk jualan. Ayam perlu disembelih dan dibersihkan, sebelum di potong mengikut kehendak pelanggan. Hampir tengahari barulah Syidah dapat berehat sekejap, bila pengunjung pasar basah itu sudah kurang. Kemudian dia akan mengemaskan dan membasuh tempat kerjanya sambil melayan pelanggan.
Ayam yang tidak habis dijual hari itu akan dihantar ke rumah Ros untuk dipotong kecil kecil dan dicucuk sate.

Syidah pulang kerumah pukul 3 petang. Selepas solat zohor dan berehat sekejap dia akan kesekolah agama untuk mengambil anak anaknya pulang. Seronok dia melayan kerenah anak anaknya. Najwa yang baru 7 tahun itu amat petah bercakap dan selalu bercerita apa apa sahaja yang berlaku di sekolah. Hilang penatnya bekerja seharian bila dapat berbual dan melayan anak anak.

Malam itu Syidah masak nasi, lauk ayam masak masam manis. Mereka makan bersimpuh diatas lantai simen, beralaskan tikar getah. Anaknya yang sulung, Along belajar di IPTA sejak setahun lepas. Aman, anaknya yang kedua baru habis SPM. Kekadang Syidah rindu pada anak sulungnya, kerana dialah yang boleh diharap. Selalunya kalau Syidah keluar bekerja, Alonglah yang diharapkan untuk menghantar dan mengambil adik adiknya kesekolah. Sekarang sejak Along tiada, dia berharap pada Aman dan Mimi. Mereka jugalah yang diharapkan untuk membantu kerja rumah dan juga homework adik adik mereka. Selalu juga Syidah membantu anak anaknya buat homework, apalagi dalam pelajaram Matematik. Syidah dulu pun masa bersekolah adalah antara pelajar yang mampu. Dia bersekolah hingga lulus STPM dan mendapat tawaran untuk masuk ke maktab perguruan. Tetapi dia tidak pergi.

Lepas Isyak, Syidah bersiap untuk keluar menjalankan kerja megutip wang dari peniaga peniaga kecil yang berhutang pada bosnya.

Hampir habis kerjanya, hujan pun turun renyai renyai. Para pengunjung pasar malam hampir habis pulang kerumah. Mereka melarikan diri dari hujan, takut demam. Tiada yang mahu berjual beli dalam hujan.

Duit sudah dikutip. Syidah simpan dompet wang dalam waist belt nya. Poket sebelah kiri berisi duit. Sebelah kanan handphone yang sudah agak usang. Masih berguna untuk bersms dan buat panggilan talipon. Motor Honda 50cc itu dihidupkan, lalu bergerak agak laju di dalam hujan renyai renyai.

Rumahnya hanya setengah kilometer dari bandar Bando. Dia perlu melintas di persimpangan depan kedai tayar. Ada satu jalan pintas melalui deretan rumah dibelakang kedai tayar itu. Syidah tidak mahu melintas di selekoh depan sekolah, selekoh itu agak berbahaya, terutama dalam hujan.

Ada kereta mengikutinya dari belakang, agak laju dan rapat juga. Syidah memasang indicator sebelah kanan, lalu memperlahankan motornya.

Kaboom! Berdentum bunyi, pelanggan dan pelayan di Sate Hut berdekatan terkejut, lalu beberapa orang bingkas bangun berkejar kejalanraya. Kereta yang mengikuti Shidah tadi tidak sempat membrek, lalu melanggar motor Shidah. Dia terlontar kejalanraya.
Memorinya hanya setakat melambung dari motor lalu jatuh keatas jalan.

Mujur kemalangan itu berlaku di tengah Bando. Mujur ada beberapa orang pelanggan di Sate Hut yang cepat membantunya. Mujur juga hospital hanya seratus meter dari tempat kemalangan.
Shidah tidak sedarkan diri selama 3 hari. Pergelangan kakinya patah, tulang pehanya juga patah. Begitu juga tangan kanannya, patah. Dia dibedah, Tulangnya yang patah di sekeru dengan batang bulat titanium. Shidah terlantar di Hospital Tengku Ampuan Rahimah selama sebulan, sebelum dipindahkan ke Hospital Bando untuk 2 bulan lagi supaya dekat dengan keluarganya.

Sehari selepas kemalangan itu, Leha, adik Shidah meneliti waist belt kakaknya. Ada duit hasil kutipan hasil jualan ayam yang perlu dipulangkan kepada Sofian. Ada talipon bimbit. Leha meneliti nombor contact disitu. Ada satu nombor yang agak asing dan banyak digitnya.Mungkinkah ini kawan lama kakaknya.

Leha lalu mendail nombor itu. Tiada jawapan. Esoknya dia mencuba lagi. Kawan kakaknya perlu tahu apa yang terjadi pada kakaknya. Shidah masih belum sedarkan diri.

Talipon berdering, Ahmad segera mencapainya dari atas meja. Waktu sudah lewat malam.
“Ish sapa pulak yang talipon aku malam begini”

“Hello”

“Hello, saya Leha, adik Kak Shidah” kata seseorang yang tidak dikenali.
“Kak Shidah kemalangan semalam, sekarang masih tidak sedarkan diri di Hospital Klang” sambungnya lagi.

“MasyaAllah, kenapa jadi macam ni” Ahmad mengucap. Dia jadi tidak keruan. Beberapa hari itu Ahmad sering menalipon dan berSMS dengan Leha bertanyakan tentang Shidah. Shidah mula sedar diri selepas 3 hari.
Dua minggu kemudian Shidah mula siuman, bengkak di otaknya sudah susut dan pulih. Dia mula risau, tentang rezeki, dialah tempat anak anaknya bergantung rezeki. Bekas suaminya sudah lama tidak mengambil tahu. Satu sen pun nafkah anak anaknya yang tujuh orang itu tidak diberi. Zakat fitrah? Mungkin tidak.

Ada satu kad baru sampai di meja tepi katilnya. Shidah buka dengan tangan kirinya yang masih utuh.

Dibacanya perlahan lahan…


Anggaplah kejadian ini cobaan dan dugaan dari Tuhan. Allah tidak akan menguji hambaNya melainkan hamba Allah itu mampu menghadapi ujian itu. Hanya hamba Allah yang terpilih sahaja akan di uji oleh Allah dengan kesusahan dan keperitan.
Bila Allah menguji kamu bermakna Allah telah menaikkan taraf kamu sebagai seorang Muslim.
Dan janganlah sesekali engkau bersusah hati tentang dari mana datangnya rezeki kamu. Allah telah sediakan rezeki yang cukup untuk kamu. Cuma mungkin kita tidak nampak dari mana datangnya rezeki itu. Sesungguhnya Allah akan mendatangkan rezeki untuk kamu dari arah yang tidak kau sangka.


Maksud ayat :
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkanlaranganNya), nescaya akan dijadikan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas hatinya. Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukupkan baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang di kehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.
(Ayat 2 & 3 Surah At-Talaq)

Friday, March 05, 2010

Kita Bertemu Di Fesbuk




TIGA
Cerita Buat Mona
http://maps.google.co.nz/maps?hl=en&source=hp&q=gisborne%20river%20mouth&gbv=2&oq=&ie=UTF-8&sa=N&tab=il
http://www.facebook.com/noor.hamzah?v=photos&sb=8#!/photo.php?pid=3138314&id=739829656
Ahmad sudah beberapa tahun tinggal di belakang masjid itu. Sebuah berek bekas bangsal kandang kuda tahun tiga puluhan, atau mungkin lebih tua dari itu. Mungkin bangsal itu di bina untuk kuda. Satu masa dulu, mungkin berpuluh tahun dulu sukan berkuda dan polo amat popular dikalangan warga bandar ini. Malah masih ada track untuk kuda di sekeliling Hagley Park. Kebetulan masjid itu berhadapan dengan Hagley Park. Dijalan Deans Avenue, sempena nama salah seorang pengasas bandar ini.
Malam itu tengah musim dingin, suhu malam selalunya tidak lebih 5 Celcius. Leman kawannya dari bilik sebelah beritahu ada pakcik pakcik tukang sembelih dari Oamaru. Elok pergi jumpa mereka tanya khabar, ada tiga orang, merantau dari Malaysia, tinggalkan anak isteri untuk mencari rezeki di negeri orang.
Kebetulan penyembelih lembu dan kambing dari Malaysia di kehendaki di New Zealand. Bukan apa, mereka rajin bekerja, jujur dan ringan tangan di tempat kerja. Reputasi itu sudah sinonim dengan nama rakyat Malaysia di New Zealand.
Pak Tam tegap orangnya. Kulitnya hitam manis, orang nya arif dalam hal agama. Cakapnya di dengar orang. Bang Malik agak muda, dalam tigapuluhan, pernah bekerja sebagai eksekutif dalam syarikat kerajaan negeri Selangor. Sebelum itu Bang Malik bekerja di pejabat tanah di Selangor. Pak Deris agak berumur, lebihkurang sama tua dengan ayah Ahmad di kampung. Ramah orangnya.
Leman memperkenalkan Ahmad pada Pak Deris, “Ha yang ni orang Tanjong Karang pakcik”. Ahmad menghulurkan salam, sebutkan namanya.
“Kau sekolah kat mana dulu?” Tanya Pak Deris.
“Datuk Harun pakcik” jawab Ahmad pendek, sambil tersenyum. Maksud Ahmad ialah Sekolah Menengah Datuk Harun, di Tanjong Karang.
“Hah kamu tentu kenal anak pakcik, Mona” sergah Pak Deris.
“Oops, dalam hati Ahmad. Ayah Mona rupanya” hati Ahmad berdegup kencang, dia masih tidak berkata apa apa.
“Haa jangan jangan kau ada cerita dengan anak Pak Deris kot, cepat minta maaf.” Kata Leman yang bergiat dalam satu pergerakan dakwah. Sudah menjadi lumrah ahli ahli pergerakan dakwah itu untuk bermaafan waktu berjumpa dan berpisah. Anak anak perempuan adalah tanggungjawab bapa. Kalau kita seorang lelaki berbuat tidak sopan atau dosa terhadap seorang perempuan, maka kita bukan saja berdosa terhadap perempuan itu, malah juga terhadap bapanya.
Pak Deris menukar tajuk. Mungkin dia sedar Ahmad gugup.
“Jadi kamu dulu sama kelas lah dengan anak pakcik si Mona?” Tanya Pak Deris.
“Iya pakcik” jawab Ahmad.
"Kamu dulu pegi rumah pakcik di Parit Tiga sama kawan kawan?"
"Tidak Pakcik, saya tak ikut masa tu"
"Ramai kawan kawan kamu datang rumah pakcik masa tu. Sapa nama sorang tu, Mail ke gitu"
“Mona tu dulu pandai bahasa inggeris, masa tingkatan dua dulu Cikgu Omar bagi dia hadiah sebab pandai bahasa inggeris” sambung Ahmad.

Cikgu Omar mengajar Matematik untuk beberapa bulan sebelum melanjutkan pelajaran ke Amerika.
“Tentulah, Mona dulu sekolah inggeris kat Kelang. Sekolah inggeris convent kat Kelang tu” sambung Pak Deris.
“Pakcik dulu ada restoran kat Kelang, jadi pakcik sekolahkan anak pakcik kat sekolah inggeris tu”
Mereka tidak sambung berbual, hari sudah lewat malam. Tadi Ahmad baru saja balik dari perpustakaan. Dia selalu belajar sampai lewat di perpustakaan, kerana ada suasana belajar.
Esoknya Pak Deris dan kawan kawannya pulang ke Oamaru. Khabarnya Pak Deris gemar memancing bersama kawan kawannya. Dia juga gemar memasak. Boleh kata tak ada can lah untuk kawan kawan serumahnya peluang untuk memasak makan malam kalau Pak Deris ada dirumah.
Tak lama kemudian Bang Malik di pindahkan ke Kaiapoi, tak jauh dari bandar tempat Ahmad tinggal. Hanya 15km sahaja. Maka selalulah Ahmad mengunjungi Bang Malik.
Pak Deris pula pindah tempat kerja ke Gisborne, di pulau utara.
Dia masih gilakan hobinya memancing.
Satu malam mereka pergi memancing seperti biasa di beting pasir kuala sungai Turanganui. Air sungai bertemu air laut. Ikan kahawai dan mullet banyak dimuara. Lapar dan cepat merenggut umpan daging. Untuk ke beting pasir di kuala sungai mereka hanya perlu berjalan kaki diatas pasir. Pasir yang kekadang berubah bila hanyutkan arus. Apalagi bila air bah.
Seronok mereka memancing malam itu, banyak ikan. Hingga mereka lupa untuk melihat dan menanda waktu.
Tiba tiba air pun pasang. Air sungai agak deras malam itu, semalam hujan, agaknya lebih lebat di gunung. Lebih banyak air mengalir ke hilir. Air naik dengan cepat, Sekejap saja sudah sampai ke pinggang.
Ikan entah kemana, mereka cuba berenang dan berjalan ke daratan. Malam itu gelap. Yang dekat nampak jauh. Pak Deris panik. Dia tidak tahu berenang. Dia tiada benda yang boleh digunakan sebagai pelampung. Kawan kawannya cuba menenangkannya, dan cuba membawanya ketepi. Dia masih panic, dia cuba berenang, tangannya cuba bergerak keatas dan kebawah, kakinya sudah tidak berpijak ke pasir.
Pak Deris tertelan air, lalu terpisah dengan kawan kawan nya di malam yang gelap itu.
“Pak Deris! Pak Deris!”
Pak Deris lemas, dihanyutkan air deras. Coastguard menemui mayatnya esoknya.