DUA
Sabtu, tanggal 15 Februari 1975.
Tengahari itu panas sekali, mentari berbinar tanpa awan. Tiada angin sepoi mengurangkan kepanasan hari itu, Ayam dan itik tidur di bawah rumah, tidak mahu mereka membelah siang mencari belalang dan cacing di kebun, lebih rela mereka kelaparan sebentar menanti nasi basi petang nanti.
Jam sudah 2 petang, penghuni kampung rata rata tidur lena tengahari itu. Mereka bersawah waktu pagi, balik rumah untuk makan tengahari pukul dua belas, dan tertidur lena menanti waktu zuhur. Ahmad, anak Mak Yam yang baru sepuluh tahun itu tidak tidur tengahari itu, dia bermain depan pintu. Matanya sudah mengantuk, tapi masih di gagahkan untuk celik.
Mak Yam tidur di bilik dekat dapur. Dia sarat mengandung, sudah seminggu terlewat dari tarikh dia sepatutnya bersalin. Mak Yam masih sihat, dia masih mampu berjalan ke rumah jiran, Mak Timah, 200 meter jauhnya. Pagi itu Mak Yam buat kerja rumah seperti biasa, menyediakan sarapan pagi untuk Pak Tam dan membasuh kain. Sebaris kain dan baju telah kering di ampaian di laman sebelah mentari terbit.
“Uwaa..uwaa”
Tiba tiba kedengaran suara bayi menangis.
Ahmad terkejut. Dia tidak tahu apa nak buat seketika. “Oh mak bersalin”
“Mat, pergi rumah Pak Anuar, minta tolong dia panggil bidan Mbah Simut.” Teriak Mak Yam.
“Ya mak”, jawab Ahmad, lalu bergegas turun dari rumah, terus pergi ke rumah Pak Anuar. Ahmad beri salam sebaik saja sampai di bawah tangga rumah Pak Anuar.
“Oh emak kamu bersalin!” Pak Anuar segera mencapai baju dan turun kebawah rumah lalu berbasikal kerumah bidan Mbah Simut, lebih satu kilometer jauhnya. Kak Simah, isteri Pak Anuar mengandung anak pertama masa itu. Mereka baru berkahwin setahun lepas.
Ahmad lalu pulang kerumah, bimbang akan ibunya. Adiknya Abu yang baru berumur 4 tahun itu masih tidur. Tak lama kemudian Kak Simah isteri Pak Anuar datang, ditemani Tipah, adik Kak Simah.
“Mat, pegi rumah Mbah Ros dan Pakcik Min dan beritahu mereka mak bersalin” teriak Mak Yam pada Ahmad. “Ya mak” sahutnya.
Ahmad lalu mencapai basikal buruknya, lalu pergi kerumah neneknya Mbah Ros. Mbah Ros baru lepas mandi, mahu solat zuhur.
“Nantilah aku datang” jawab Mbah Ros. Ahmad lalu pergi kerumah Pak Min, abang Mak Yam. Pak Min tidak ada di rumah, tapi makcik Normah duduk dibawah rumah berbual dengan anak anaknya.
“Mak engkau bersalin Mat, dapat adik lelaki atau perempuan?” Tanya makcik Normah.
“Perempuan” jawab Ahmad. Dia pamit lalu pulang ke rumah.
Sesampai di rumah, Mbah Simut dan misi Kalsom sudah sampai, dan mereka ada di atas rumah bersama Mak Yam yang masih terlandar di dalam bilik. Adik perempuan Ahmad yang baru lahir itu sudah dimandikan. Pak Long, ayah Ahmad masih belum pulang dari kebun, walaupun sudah hamper pukul tiga petang. Pagi tadi dia pergi ke kebun di Sungai Yu, begitu kata Mak Yam. Setengah jam kemudian Pak Long pun sampai, lega rasa hati Ahmad.
“Mat, pegi ke balairaya, suruh kakak kau balik. Sambil tu pegi rumah Mbah Siti, beritahu dia” teriak Mak Yam.
“ Ya mak” jawab Ahmad lalu pergi berbasikal ke balairaya kampung, satu kilometre jauhnya. Dihujung kebun dia terserempak dengan mak Timah jirannya.
“Nak kemana?” Tanya Mak Timah.
“Pergi ke balairaya, panggil kakak balik, juga beritahu Mbah Siti mak baru bersalin” kata Ahmad. Mak Timah pun terus pergi ke rumah Ahmad.
Sampai di halaman balairaya, Ahmad Nampak kakaknya di dalam. Dia tidak dapat bercakap apa apa. Lidahnya kelu, sejak dari rumah tadi dia merasakan sesuatu yang tak kena. Dia terdengar misi Kalsom berkata uri masih belum keluar, dan seketika kemudian, ada satu lagi masih di dalam, songsang. Dia nampak misi Kalsom bertungkus lumus mengubah arah bayi di dalam perut Mak Yam, tapi masih tetap menyongsang. Mbah Simut suruh Mak Yam minum kicap, supaya senang keluar, katanya.
Khatijah, kakak Ahmad memandang Ahmad dan faham, lalu pamit pada seseorang yang mengajarnya di depan dan turun kebawah balairaya, mereka berbasikal pulang ke rumah. Entah kelas jahitan, entah apa, Ahmad tidak tahu, tapi orang yang mengajarnya orang lelaki. Dia juga nampak Kak Siah, anak Pak Isnin jirannya duduk dekat Khatijah.
Sampai di rumah, Ahmad dengar Abu menangis di tingkap, sementara Pak Long dan Pak Min berbincang sesuatu depan tangga. Sementara di bilik dan di dapur keadaan agak genting. Bayi yang di lahirkan masih tersangkut di bahagian leher. Sudah menjadi biru, kekurangan oksijen, Ahmad tahu mengenai itu beberapa tahun kemudian. Menurut misi Kalsom, bayi itu sudah tidak bergerak lagi.
Sudah meninggal sebelum sempat melihat dunia. Ahmad tidak tahu emaknya mengandung kembar. Begitu juga ayah dan kakaknya. Misi Kalsom yang selalu datang setiap minggu memeriksa Mak Yam pun tidak tahu. Betapa dhaifnya tahap kesihatan waktu itu. Memang benar kandungan Mak Yam agak besar dari biasa.
Misi Kalsom beritahu Pak Long bahawa Mak Yam perlu di bawa ke hospital. Pak Min keluar, pergi mencari kereta. Pak Anuar pulang ke rumah dan membawa balik kerusi malasnya, untuk digunakan mengusung Mak Yam ke kereta. Sekejap kemudian, Pak Min sampai dan beritahu Pak Long dah dapat kereta. Mereka pun mengusung Mak Yam ke kereta untuk di bawa ke hospital.
Pak Long menyuruh Ahmad pergi ke kedai membeli susu, untuk bayi yang baru lahir. Susu cap junjung. Ahmad berbasikal ke kedai, Abu duduk membonceng.
“Bawalah sekali Abu, adik kau tu, dia menangis dari tadi tu, takut agaknya.” Kata Pak Long. Ahmad terdengar Mak Timah tanya pada Khatijah kalau ada tilam untuk bayi. Tiada. Bayi itu di tidurkan di atas bantai, sebab tak ada tilam.
Bila Ahmad balik, imam kampong Pak Gafur, di bantu oleh bilal, Pak Rodin dan beberapa orang kampung sedang bekerja di halaman membuat keranda dari dinding rumah sebelah barat. Di atas rumah, Mbah Ros sedang memandikan arwah bayi itu. Sesudah itu, bayi itu pun di kafankan dengan kain rukuh, kain telekung kepunyaan Mak Yam. Lalu di letakkan di atas dulang di tengah rumah. Pak Long ke balai polis di pekan untuk melaporkan kematian.
Bayi yang mati itu dinamakan Aminah.
Pak Gafur mengimamkan sembahyang jenazah petang itu, di ruang tengah rumah mereka. Aminah selamat di kuburkan sebelum Maghrib.
Mak Yam tinggal di hospital tiga hari, di temani Mbah Mariam. Mak Yam tidur di dalam wad. Mbah Mariam tidur di atas simen di kaki lima wad bersalin, bertikar mengkuang dan satu bantal.
Ahmad pernah pergi ke wad di hospital itu, untuk melihat emaknya. Katilnya di balut kain putih, cadar kata emaknya. Tilamnya tebal dan empuk.
Satu hari, beberapa hari setelah Mak Yam pulang kerumah, dia bercerita bahawa satu malam Mak Yam bermimpi Aminah bermain di kakinya.
A short story for Maslina. Happy Birthday. Belated.