Thursday, May 24, 2007

13 Mei 1969: The Tunku Story




The Website is:
http://pesanan-pesanan.blogspot.com/

lets read.

Tuesday, May 22, 2007
13 MEI DARI CATATAN TUNKU ABDUL RAHMAN

13 MEI DARI CATATAN TUNKU ABDUL RAHMAN

Bahagian 1

1. PENGENALAN

Tulisan ini akan memaparkan analisis ke atas sebuah buku bertajuk “Sebelum dan Selepas 13 Mei” yang diterbitkan oleh Penerbitan Utusan Melayu Berhad, Kuala Lumpur, cetakan tahun 1969. Buku ini ditulis oleh Yang Teramat Mulia (Al-Marhum) Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ibni Al-Marhum Sultan Abdul Hamid Kedah (selepas ini diringkasnya sebagai TAR sahaja) yang merupakan Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, dan Malaysia yang pertama.

Kami berpendapat bahawa keterangan-keterangan yang diberikan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia itu sendiri, selaku orang yang terlibat secara langsung dalam peristiwa tersebut, mempunyai nilai yang amat tinggi dari segi sejarah untuk dikaji dan dianalisis, demi kebenaran yang cuba dipesongkan oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggung jawab dan berkepentingan ke atas sejarah hitam negara pada hari ini.

Tulisan ini dibuat sebagai sumbangan dari penulius untuk mengimbau dan menjelaskan keadaan yang berlaku demi kebaikan negara kita sendiri; khsusunya perpaduan antara kaum atau rakyat berbilang dan seterusnya kesejahteraan negara; dari ancaman unsur-unsur yang tidak sihat yang cuba memainkan isu 13 Mei dan memutarbelitkannya demi kepentingan politik sempit mereka.

Untuk makluman pembaca, tulisan ini dibuat secara spontan. Oleh itu sudah tentu banyak kesalahan taipan, ejaan, dan seumpamanya akan dikesan. Maklum dengan keadaan demikian, maka kami mengalu-ngalukan sebarang pembetulan daripaa para pembaca.

2. RENTETEN YANG MEMBAWA KEPADA PERISTIWA HITAM 13 MEI, 1969

2.1 KEMPEN PILIHANRAYA UMUM 1969


TAR dengan jelas menyatakan bahawa terdapat banyak peristiwa yang berlaku yang mana pada akhirnya menimbulkan huru-hara pada 13 Mei, 1969.

Menurut beliau, kesemua pilihanraya-pilihanraya yang telah dijalankan sebelumnya iaitu sejak kemerdekaan telah dapat dilaksanakan dengan baik, hatta Pilihanraya Umum (selepas ini diringkaskan sebagai PRU sahja) 1969. PRU 1969 jatuh pada hari Sabtu, 10 Mei, 1969 di Malaysia Barat berjalan dengan licin lagi lancar sebagaimana PRU-PRU sebelumnya.

Namun, semasa PRU 1969, kempen pilihanraya telah dijalankan dengan begitu buruk dengan perbuatan-perbuatan liar yang dilakukan dan ucapan-ucapan yang tidak bertanggung jawab daripada pihak pembangkang.

2.2 ANASIR-ANASIR KOMUNIS

TAR berpendapat terdapat anasir-anasir komunis yang memainkan peranan dengan hujah beliau bahawa beliau, selaku Perdana Menteri yang menjaga keselematan negara, menerima pelbagai maklumat dan laporan-laporan sulit. Ini tidak dapat tidak kita percaya akan keterangan beliau kerana beliau adalah orang yang bertanggung jawab dalam hal yang berkenaan. Dalam buku berkenaan juga beliau, walaupun secara tidak terancang, telah mengemukakan beberapa bukti akan hakikat ini.

2.2.1 HARTAL DI PULAU PINANG

Antara perkara yang disebutkan oleh TAR ialah peristiwa yang berlaku di Pulau Pinang pada 19 November, 1967 yang mana dibuat contoh oleh TAR sebagai bukti yang jelas anasir-anasir komunis telah bergerak secara terang-terangan atau secara sulit untuk melakukan sesuatu yang merosakkan kepentingan Malaysia.

Dalam peristiwa di Pulau Pinang pada tahun 1967 ini, TAR melaporkan bahawa anggota-anggota China dalam Gerakan Belia Mao Tse-Tung telah mengambil kesempatan atas langkah kerajaan menurunkan nilai mata wang lama Malaysia sebagai alasan untuk melancarkan hartal. Lanjutan daripada hartal ini, pertempuran-pertempuran telah tercetus di mana orang-orang Melayu dan penyokong-penyokong setia kerajaan telah diserang. Beberapa orang terperangkap dalam kejadian yang berlaku juga telah terbunuh dan cedera. Perkara ini hanya dapat diredakan apabila pasukan-pasukan keselamatan berjaya mengembalikan ketenteraman dan mengenakan perintah berkurung, serta menangkap orang-orang yang disyaki.

Menurut TAR, komunis bertujuan melancarkan hartal ke seluruh negara. Namun, rancangan mereka gagal kerana penduduk-penduduk di tempat lain tidak mengindahkan seruan mereka dan menjalankan perniagaan seperti biasa.

2.2.2 HUKUMAN GANTUNG KE ATAS KOMUNIS YANG BELOT SEMASA KONFRONTASI

Pada bulan Jun tahun 1968, hukuman gantung hendak dilaksanakan ke atas sebelas (11) orang China yang menjadi anggota Parti Komunis Malaya (ringkasnya PKM) yang mana dihukum mati kerana membantu pihak Indonesia yang diketuai oleh Presiden Sukarno yang melancarkan kempen ”Ganyang Malaysia” dalam usaha mereka menyerang selatan tanahair, iaitu Johor.

Perintah hukuman gantung yang sama juga dikenakan ke atas dua (2) orang Melayu di Perak.

Dr Tan Chee Khoon yang menjadi ahli Parlimen Parti Buruh bagi kawasan Batu, Selangor, telah membuat rayuan agar hukuman gantung itu tidak dilaksanakan. Beliau dan ahli-ahli Parti Buruh dan (yang disebutkan oleh TAR disertai bersama) penyokong-penyokong komunis telah melancarkan kempen besar-besaran, dari rumah ke rumah, atau dari pintu ke pintu (kedai) untuk memungut tandatangan dan menimbulkan tanda simpati orang ramai terhadap 11 orang yang dihukum sebagaimana yang diterangkan di atas. Menurut TAR, akhbar-akhbar juga memainkan peranan yang besar dalam kempen yang dilakukan ini.

TAR mendakwa anasir-anasir yang pro-Komunis tersebut telah menghasut ibu bapa dan para waris pemuda-pemuda yang dihukum bunuh itu supaya mengadakan perjumpaan beramai-ramai untuk membantah. Akan tetapi, rayuan mereka tersebut telah ditolak oleh Sultan Johor dan Sultan Perak ketika itu.

Menjelang tarikh perlaksanaan hukuman gantung itu, di luar penjara Pudu di Kuala Lumpur dan di sepanjang jalan menuju ke penjara itu telah berlangsung tunjuk-tunjuk perasaan secara liar di mana mereka membaling batu ke atas kendaraan yang lalu di situ dan menghalang lalu lintas. TAR menyatakan bahawa orang-orang yang melakukan tunjuk perasaan liar berkenaan sebagai ”belia-belia komunis.”

Atas pendapat atau kebijaksanaannya untuk mengelakkan timbulnya pergaduhan di seluruh negara yang membawa kepada rusuhan antara kaum yang boleh menumpahkan darah, TAR telah menghadap Sultan Johor dan Sultan Perak untuk membincangkan meringankan hukuman gantung berkenaan. Kedua-dua baginda Tuanku Sultan Johor dan Sultan Perak telah bersetuju lalu kesemua mereka yang terbabit diringankan hukuman kepada penjara seumur hidup.

Kita tidak boleh melihat ini sebagai satu kelemahan TAR dalam membuat keputusan atau mengendalikan keadaan, di mana logik TAR dalam hal ini dapat diterima. Beliau menyatakan bahawa sama ada tindakannya betul atau salah, tujuannya adalah untuk [ memetik kata-katanya ] ”menyelamatkan seribu jiwa dengan menyelamatkan sebelas komunis di Johor dan dua penderhaka di Perak dari hukuman gantung.

Kesan tindakan beliau itu adalah terhentinya tunjuk perasaan dan keamanan dapat dipulihkan.


(Bersambung)

No comments: