Hari Buruh 1 Mei
berikut adalah perutusan Datuk Seri Anwar Ibrahim:
Anwar Gesa Satu Piagam Baru Untuk Buruh
May 01st, 2007 Category: Anwar, Hebahan, Media
Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa supaya ditubuhkan satu ‘piagam baru untuk buruh’ yang mengambil kira kesan globalisasi dan pertambahan perdagangan dunia tetapi pada masa yang sama, melindungi hak para pekerja untuk bebas berpersatuan dan mendapatkan gaji yang berpatutan.
Dalam satu perutusan sempena Hari Pekerja, Anwar berkata walaupun beliau mengakui bahawa globalisasi dan perubahan dalam perdagangan dunia telah menghakis kuasa kesatuan-kesatuan sekerja, namun ‘hak-hak tertentu pekerja tidak boleh dinafikan dan masih tetap utuh.’
‘Hak para pekerja untuk bebas membentuk kesatuan tidak boleh dicabuli sementara hak untuk mendapatkan upah yang berpatutan untuk sesuatu kerja yang dilakukan juga mesti diakui,’ kata bekas menteri kewangan itu yang kini menjadi pemimpin tidak rasmi pembangkang Malaysia.
Anwar berkata dalam beberapa sektor penting ekonomi di Malaysia, kedua-dua hak untuk membentuk persatuan dan menerima gaji yang berpatutan bukan merupakan sebahagian dari isu hubungan majikan-pekerja.
“Ini merupakan bintit hitam buat negara – iaitu setelah lima puluh tahun Merdeka, masih ada pekerja-pekerja yang dihalang daripada menyertai sesebuah persatuan dan bergelut untuk mendapatkan gaji untuk menyara hidup,” kata beliau dengan nada kesal.
Beliau berkata Keadilan komited terhadap penggubalan undang-undang gaji minimum dan partinya akan ‘menggunakan setiap saluran moral’ bagi memujuk majikan dan pengurusan supaya tidak membubarkan kesatuan selain membayar gaji yang setanding dengan keperluan hidup.
‘Piagam baru kami bagi buruh akan mengiktiraf hak asasi mereka untuk bebas berpersatuan dan menerima gaji yang berpatutan tanpa perlu melalui saluran perundangan,’ kata beliau lagi.
‘Kuasa kerajaan untuk menggunakan pengaruhnya tanpa melalui saluran perundangan adalah sangat besar dan PKR akan menggunakan asas moral ini bagi menyokong hak pekerja untuk bebas berpersatuan dan menerima gaji yang berpatutan.’
Beliau berkata hak lain yang seumpamanya adalah perumahan yang memuaskan yang mampu dimiliki, di mana beliau menegaskan, tanggungjawab menyediakannya terletak di bahu kerajaan.
‘Peruntukan perumahan yang mencukupi mestilah menjadi satu keutamaan bagi sesebuah kerajaan yang peka kepada keperluan rakyatnya,” tegas beliau.
’Sektor perumahan tidak sepatutnya dianggap hanya sebagai enjin pertumbuhan ekonomi. Mestilah ada tanggungjawab sosial dalam peruntukan perumahan di samping kerajaan dan sektor swasta juga mesti mengiktirafnya.”
Anwar berkata sebagai sebahagian dari piagam baru Keadilan untuk buruh, Kumpulan Simpanan Wang Pekerja mesti membayar pencarum-pencarum dividen tahunan yang tidak kurang daripada 8 peratus. Dia juga berkata bahawa piagam baru itu turut akan memberi mandat untuk membayar elaun sara hidup buat pekerja-pekerja sektor swasta jika COLA dibayar kepada pekerja sektor awam.
“Kesetaraan adalah perlu apabila terdapat keperluan yang mendesak seperti harga minyak dan tol yang meningkat yang membebankan orang ramai.”
Tamat
Begini komen saya:
Saya ingin merakamkan terima kasih saya kepada DSAI kerana membawa ketengah isu isu pekerja. Tidaklah semestinya pekerja yang berpendapatan rendah itu kerana produktiviti mereka rendah, tetapi mungkin kita atau majikan menilai rendah sumbangan mereka. kalaupun produktiviti mereka rendah, kita boleh meningkatkan produktiviti mereka dengan melabur lebih dari segi skill dan kapital. Ini akan meningkatkan total produktiviti.
Saya sokong tentang gaji minimum dan hak berpesatuan pekerja. Tentang perumahan pekerja, jika pekerja berpendapatan berpatutan, mereka akan mampu membeli rumah sendiri. Jika kos tanah, bahan binaan dan kos faedah pinjaman berpatutan, tidak mustahil golongan pekerja akan mampu membeli rumah sendiri.
Saya tidak setuju jika kita mahu KWSP membayar dividen tidak kurang 8 peratus, kerana ini akan memaksa KWSP melabur dalam pelaburan yang risiko tinggi. Biarlah KWSP melabur dalam bentuk pelaburan yang rendah risiko, kerana ini adalah pelaburan hari tua pekerja. Kita tidak mahu KWSP rugi dan pekerja hilang caruman mereka.
No comments:
Post a Comment